Kenapa Daun Pokok Kuning?
Daun adalah organ penting tumbuhan yang berfungsi untuk membekalkan tenaga dan gula ringkas kepada tumbuhan melalui proses fotosisntesis. Selain fotosintesis, proses respirasi, transpirasi dan tempat penyimpanan makanan penting untuk tumbesaran daun. Secara saintifik, daun berwarna hijau kerana kandungan pigmen fotosintesis di dalam daun, iaitu klorofil yang terdapat di dalam kloroplas.
Semasa proses fotosintesis, klorofil di dalam kloroplas menyerap cahaya dan juga tenaga yang dibawa oleh cahaya tersebut. Klorofil memberikan warna hijau kepada kloroplast, dan seterusnya warna hijau kepada tumbuhan. Klorofil terletak pada membrane thylakoid dalam kloroplas.
Jadi apa penyebab daun kuning?
ANTARA SEBAB DAUN KUNING
1. Kesan Kekurangan Air / Terlebih
Seperti yang kita tahu, air merupakan komponen utama dalam proses fotosintesis. Kekurangan atau terlebih air merupakan salah satu penyebab utama daun menjadi kuning. Kekurangan air boleh menyebabkan kadar fotosintesis menjadi kurang dan daun mula menjadi kuning.
Kekurangan air boleh menyebabkan kadar fotosintesis menjadi kurang dan daun mula menjadi kuning. Tumbuhan biasanya tidak menunjukkan gejala secara cepat apabila air terlebih tetapi dalam masa tertentu, daun pokok akan menguning dan gugur.
Gejala tumbuhan terlebih menerima air
Berbeza dengan simptom tumbuhan yang kekurangan air, tumbuhan yang terlebih sumber air akan menunjukkan tanda apabila daun mulai menguning dari bahagian bawah pokok.
Bagi mengatasi masalah kekurangan atau terlebih air, kelembapan tanah haruslah diperiksa agar kekerapan pemberian air dapat dikawal. Tanah tidak seharusnya dibiarkan terlalu kering namun cukup untuk tidak membiarkan air bertakung pada bahagian akarnya. Adalah baik juga jika dibiarkan tanah kering seketika sebelum penyiraman seterusnya dilakukan. Tanah yang basah tidak memerlukan penyiraman.
Tanda-tanda tanah tu dah terlebih menerima air
Tanda tanda tanah menerima air yang terlebih adalah apabila tanah berbau dan air dapat diperah daripada tanah tesebut. Tanah yang keras dan padat boleh menyebabkan air tidak boleh mengalir dengan baik dan bertakung. Oleh itu, pengudaraan atau penggemburan tanah perlulah dilakukan dalam tempoh tertentu bagi memastikan air dapat mengalir dan tidak bertakung.
2. Cahaya
Kekurangan cahaya juga boleh menyebabkan daun menjadi kuning. Keadaan ini banyak berlaku pada pokok hiasan rumah yang diletakkan ditempat yang kurang cahaya matahari. Daun baru atau yang telah matang akan menjadi kuning apabila menerima kurang atau terlebih cahaya matahari.
Penerimaan kurang cahaya menyebabkan kadar fotosintesis kurang yang akhirnya daun menjadi kuning.
Terlebih cahaya dan suhu yang tinggi boleh menyebabkan ancaman kepada pokok kerana boleh mengehadkan proses fotosintesis dengan memusnahkan beberapa komponen utama yang terbabit dalam proses metabolisme daun.
3. Masalah Akar
Masalah pada akar pokok menyebabkan daun menjadi kuning.
Ketegangan pada akar boleh berlaku apabila lebihan air bertakung pada bahagian akar yang menghalang proses respirasi akar disebabkan oleh kekurangan oksigen.
Disebabkan proses respirasi terbantut, pengumpulan gula dan kanji mula berlaku dalam daun yang menghalang fotosisntesis and mengurangkan kadar pemindahan makanan dari daun kepada akar.
Apabila akar menerima kurang makanan, keadaaan ini akan merencatkan lagi proses respirasi akar dan seterusnya menyebabkan penyerapan nutrien dan pelbagai proses pertumbuhan pokok terbantut.
Akhirnya ini akan menyebabkan perubahan pada fisiologi daun seperti mengalami penuaan pramatang iaitu daun cepat menjadi kuning dan cepat gugur.
4. Kandungan Garam
Dalam konteks pertanian, saliniti merujuk kepada kandungan garam seperti sodium, potassium, kalsium atau magnesium yang terdapat dalam tanah, medium tumbuhan atau air.
Kemasinan mempunyai pengaruh yang penting dalam tumbesaran pokok.
Tahap kemasinan yang tinggi akan menjejaskan pertumbuhan pokok kerana keupayaan pokok untuk menyerap air dan nutrien terganggu.
Kemasinan boleh terjadi sekiranya baja kimia diberi secara berlebihan atau kawasan terletak berhampiran kawasan laut.
5. Cuaca
Daun menjadi kuning juga mungkin disebabkan kemarau. Semasa kemarau, dehidrat yang tinggi berlaku pada daun yang menyebabkan banyak air hilang melalui daun berbanding air yang didapati oleh akar pokok melalui xylem.
Daun yang kekuningan atau keperangan akibat lecuh kemarau tidak boleh diubati namun amalan penanaman yang baik dapat mengurangkan atau menghalang pokok daripada menjadi lebih teruk seperti kerap menyiram air dan menggunakan teknik sungkupan organik. Ini bagi memastikan kehilangan lembapan dapat dikurangkan.
6. Kurang Nutrien
Nitrogen
Kekurangan sumber nitrogen, N, yang diperlukan oleh kloroplas untuk sintesis protein menyebabkan daun matang menjadi kuning.
Kesan jangkamasa panjang kekurangan nitrogen boleh menyebabkan daun gugur dan seterusnya pokok mati.
Fosforus
Kekurangan fosforus, P, pula boleh menyebabkan sedikit kesan klorosis pada daun.
Kalium
Kekurangan kalium, K, nutrien penting yang memastikan proses fotosintesis, pengangkutan floem dan keseimbangan osmotik pada tumbuhan pula dapat dilihat sebagai tompok kuning pada daun.
Kalsium
Kekurangan kalsium pada pokok pula dapat dilihat apabila daun muda menjadi kuning. Selain itu, pokok yang kekurangan sumber kalsium boleh mengundang serangan pathogen yang merembeskan enzim yang berbahaya pada pokok.
Magnesium
Kekurangan magnesium, Mg pula menyebabkan klorosis pada urat daun matang.
Bagi memastikan tumbuhan memperoleh nutrien yang mencukupi, tanah haruslah digembur dan diberi baja mengikut aturan yang sesuai, disamping dapat menurunkan pH tanah. Ini kerana, tanah yang mempunyai pH yang tinggi juga mampu menyebabkan klorosis pada daun.
7. Proses Penuaan Daun
Daun juga mempunyai proses penuaan sama seperti manusia dan haiwan.
Klorofil
Klorofil merupakan pigmen yang paling banyak di bumi. Klorofil merupakan komponen utama dalam proses fotosintesis untuk menyerap cahaya matahari.
Semasa proses penuaan, klorofil mengalami proses penguraian yang menyebabkan daun kehilangan warna hijaunya dan menjadi kekuningan dan seterusnya gugur ke tanah.
Penuaan menandakan peringkat akhir perkembangan daun dalam tumbuhan. Pada peringkat ini, sel tumbuhan akan mengaktifkan factor transkripsi yang mengawal ekspresi gen yang berkaitan dengan penuaan.
Pada masa yang sama nutrien daun akan diarahkan untuk ke organ berkembang lain seperti daun atau biji baru, atau ke organ penyimpanan lain.
8.Penyakit dan Perosak
Daun menjadi kuning juga boleh disebabkan oleh serangan penyakit.
Contoh penyakit yang boleh menyebabkan daun menjadi kuning adalah lethal yellowing syndrome yang berlaku pada pokok palma seperti kelapa.
Penyakit ini menyebabkan tandan bunga menjadi hitam, buah mudah luruh walaupun masih muda, dan daun menguning.
Penyakit ini boleh menyebabkan pokok mati. Perosak juga boleh menyebabkan daun menjadi kuning seperti serangan hama dan kutu daun.
Infografik tambahan:
amirul
3 years agomoga ilmu yg diberi dihalalkan ya…