Siri Penanaman Cili Organik: Semaian
Kami ajar cara semai paling mudah, ikut ini saja dah ok. Tak perlu nak pening-pening cari cara susah.
Tak perlu nak rendam benih ke apa ke, terus buat langkah dibawah.
Barang-barang keperluan:
-Benih berkualiti (Jenama SAKATA, atau pilih yang hybrid lazimnya baik)
-Peatmoss
-Tray semaian (beli lebih 2 jenis yang sama untuk mudah kerja)
-Plastik hitam (boleh guna plastik sampah/silvershine)
Langkah-langkah:
1. Masukkan peatmoss dalam tray semaian 1, tuang sekali banyak. Ratakan antara lubang, tak perlu terlalu mampat.
2. Ambil tray semaian 2, tekapkan diatas tray 1 yang sudah diisi peatmoss tadi. Tujuan untuk buat ruang. Tak perlu ambil lidi cucuk lubang satu-satu, itu kerja budak terlebih rajin.
3. Akan ada ruang sedikit di tray semaian yang ditekap tadi, jadi isi biji benih dalam ruang itu.
4. Selesai isi benih, isi sekali lagi peatmoss, untuk tutup timbus biji benih tadi.
5. Selesai tutup, sembur air paip, biar basah pada peatmoss yang dah berisi biji benih tadi, jaga-jaga jangan sembur terlalu kuat sampai biji benih yang dah ditutup tadi terkeluar.
6. Ambil plastik hitam. Tutup. Letak bawah tempat berbumbung dan gelap. Kemudian periksa 3 hari kemudian. Periksa benih tadi dah pecah belum, ada pucuk baru tumbuh macam taugeh. Jika masih tiada, simpan lagi sehingga hari ke 7 maksimum. Tengok juga kalau peatmoss tadi kering ke tidak, kalau kering sembur air sikit biar lembab.
7. Jika hari 7 disimpan masih tiada apa perkembangan, bermaksud benih bermasalah murah/peatmoss tak berkualiti. Beli barang yang berkualiti, insyaAllah menjadi. Hasilnya akan ada pucuk baru naik seperti taugeh.
8. Simpan pucuk ini, 8-11 pagi letak biar kena matahari, selepas dari waktu itu, alih letak bawah bumbung supaya pucuk ini kena matahari cukup-cukup dan tak terlalu kering. Kalau tanam banyak tu, belilah rumah khas untuk tapak semaian. Nak buat secara kecil-kecil, macam ini cukup.
9. Beri siraman air setiap hari, agak-agak jangan lembab sangat, jangan sikit sangat. Cukup rasa. Sembur racun organik 3-4 hari 1x, untuk jaga dari serangga, wajib sembur, kalau tak sembur, awal-awal pokok dah masalah kena serangga. Ini wajib untuk jika mahu guna kaedah organik, organik perlu cegah bukan rawat.
10. Buat macam ini, 2 minggu dia dah kuat, baru beri matahari penuh, akan jadi anak pokok. Selesai, boleh ke fasa seterusnya anak pokok.
Ringkasan infografik: